comscore
Tumpuan :
Nasional

OKT mati dalam lokap akibat saluran darah jantung tersumbat

Foto hiasan

BALING: Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) yang meninggal dunia ketika dalam tahanan lokap di Balai Polis Baling, Rabu lalu diklasikasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, lelaki berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 10.22 malam hari berkenaan.

Beliau berkata, OKT terbabit dibawa dari Penjara Alor Setar pada 17 Januari lalu untuk menghadiri sebutan kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama di Mahkamah Majistret Baling yang dijadualkan pada 18 Januari lalu.

“OKT kemudian ditumpangkan di lokap Balai Polis Baling sementara menunggu tarikh sebutan kes.

“Pada Rabu lalu, OKT kemudian ditempatkan semula di lokap balai polis berkenaan selepas menghadiri sebutan kes di mahkamah berkenaan dan dijadualkan untuk dihantar semula ke Penjara Alor Setar semalam (19 Januari),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, namun pada jam 9.40 malam Rabu lalu, OKT berkenaan mengalami sesak nafas dan sawan menyebabkan pihak polis segera menghubungi Hospital Baling.

Beliau berkata, pegawai perubatan hospital itu kemudian hadir ke lokap untuk memberi rawatan kepada OKT berkenaan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Bedah siasat yang dilakukan semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar mendapati, punca kematian lelaki berkenaan disebabkan ‘Coronary Atherosclerosis (saluran darah jantung tersumbat).

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya.

Loading...
Terkini