comscore
Tumpuan :
Nasional

OKU warga asing dijadikan pengemis, polis tahan dalang sindiket

FOTO: Ihsan Polis Johor

JOHOR BAHRU: Empat warga asing orang kurang upaya (OKU) yang dijadikan pengemis selepas dieksploitasi dua lelaki warga tempatan, berjaya diselamatkan polis, semalam.

Turut ditahan dalang sindiket pemerdagangan orang terbabit dalam dua serbuan Op Mega Pintas antara jam 8 malam hingga 11.45 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki berusia 39 dan 79 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu dua rumah di Taman Abad dan Taman Century di sini.

FOTO: Ihsan Polis Johor

“Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket pemerdagangan orang iaitu eksploitasi pengemis warga China di sekitar bandar raya ini.

“Kita berjaya menyelamatkan dua lelaki dan dua wanita warga China berusia 36 hingga 61 tahun. Mereka adalah OKU fizikal dan lumpuh.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua kereta dan wang tunai berjumlah RM15,094,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, hasil siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan itu berperanan sebagai ‘transporter’ dan juga merupakan individu yang menyediakan tempat tinggal bagi mangsa yang diselamatkan.

“Soal siasat awal mendedahkan mangsa mampu membuat kutipan mencecah RM500 sehari bagi seorang dan maklumat juga mendedahkan semua mangsa sudah mengemis di sekitar bandar raya ini sejak enam bulan lalu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Kamarul Zaman berkata, Polis Johor memandang serius kegiatan seumpama itu dan sentiasa menjalankan operasi bagi membanteras sindiket pemerdagangan orang.

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini, boleh terus menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau hubungi Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677,” jelasnya.

Loading...
Terkini