comscore
Tumpuan :
Nasional

Ombak besar punca batu tunggul ikonik Bako runtuh – SFC

KUCHING: Batu tunggul ikonik berusia jutaan tahun di Taman Negara Bako yang runtuh semalam berkemungkinan besar disebabkan oleh kejadian ombak besar.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook hari ini memaklumkan kejadian itu dilaporkan pertama kali oleh seorang pemandu taman negara terbabit pada 4 petang semalam.

Menurut SFC, kejadian ombak besar baru-baru ini adalah kemuncak yang menyebabkan kejadian runtuhan, susulan daripada hakisan yang berlaku sejak berjuta tahun lalu di pantai Sarawak.

“Tunggul laut ini merupakan satu daripada khazanah geologi negara, yang terbentuk daripada batu pasir melalui proses hakisan selama berjuta tahun lalu.

“Pembentukan uniknya menarik perhatian ramai pengunjung. Kejadian tanjung berbatu yang membentuk tunggul laut yang unik dan gerbang laut itu sentiasa memukau pelancong,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFC Abang Arabi Abang Aimran dalam kenyataan sama melahirkan rasa terkejut dan sedih apabila mendengar berita terbabit.

Beliau berkata, batu tunggul berkenaan bukan sahaja mempunyai keunikan keindahan alam semula jadi tersendiri, malah penting kepada industri pelancongan tempatan, khususnya bagi pengusaha-pengusaha bot di Taman Negara Bako.

“Khazanah alam ini kadang-kala boleh dipulihkan dan kadang-kala tidak boleh diganti. Satu set gerbang laut ikonik dan tunggul batu yang serupa di Victoria, Australia yang dikenali sebagai 12 Apostles, akhirnya turut menyaksikan keruntuhan kejadian alam itu.

“Kini hanya tinggal 8 tunggul berbanding 12 tunggul pada asalnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini