comscore
Tumpuan :
Nasional

Konflik AS-Yaman: Rakyat Malaysia boleh pindah, pulang ke tanah air secara sukarela

Bangunan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: 376 rakyat Malaysia yang berada di Yaman dilaporkan dalam keadaan selamat disebalik tindakan ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di Yaman.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Luar Negeri ingin menasihati rakyat Malaysia di Yaman untuk terus berwaspada dan peka terhadap keselamatan diri.”

“Sekiranya merasakan keselamatan diri terancam dengan situasi semasa, rakyat Malaysia juga boleh memilih untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau pulang ke Malaysia secara sukarela,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Wisma Putra turut menyarankan rakyat Malaysia di Yaman untuk segera mendaftarkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat jika masih belum berbuat demikian.

Terdahulu, media melaporkan AS dan United Kingdom (UK) melancarkan serangan udara ke atas kedudukan Houthi di empat wilayah di Yaman termasuk ibu negara Sana’a dan bandar Al Hudaydah, Saada dan Taiz.

Pegawai AS dan UK mendakwa ia mensasarkan kemudahan dan kedudukan Houthi sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal komersial di Laut Merah dan bukannya penduduk awam.

Sebelum ini, Houthi dilapor menegaskan pihaknya melancarkan serangan terhadap kapal-kapal dikenal pasti di Laut Merah, sebagai tindakan solidariti mereka bersama rakyat Palestin yang kini berdepan serangan bertubi-tubi Israel.

Mengulas lanjut, Wisma Putra meminta rakyat Malaysia menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Muscat yang beralamat di Villa No. 2443, Way 3030 Shatti Al Qurum, P.O. Box 51, Bareeq Alshati, Muscat.

Mereka juga boleh menghubungi di talian + (968) 2469 8329 atau + (968) 7159 2388 atau menerusi e-mel di [email protected].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini