IPOH: Polis telah menahan 1,652 individu di negeri ini kerana terbabit dengan pelbagai kegiatan perjudian haram menerusi Op Dadu yang dilaksanakan sejak Januari hingga November lepas.
Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat berkata, dalam tempoh sama pihaknya turut merampas 1,022 peranti elektronik dan wang tunai berjumlah RM272,296.
“Sebanyak 1,377 kertas siasatan berkaitan perjudian telah dibuka dengan 975 daripadanya telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebanyak 131 kertas siasatan diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh pihak pendakwa raya manakala 271 lagi dalam tindakan pegawai penyiasat.
Kejayaan membanteras kegiatan perjudian haram, katanya adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa.
“Polis Kontinjen Perak menyokong sepenuhnya usaha kerajaan negeri dalam membanteras aktiviti perjudian yang disyaki masih berlaku di negeri ini,” katanya.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.