Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau rapat aktiviti ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.
Berikutan itu, pihak JAIS telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya barang-barang rampasan yang disyaki berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli GISBH dalam serbuan ke atas 18 premis di Selangor semalam, diserahkan kepada pihak JAIS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataannya turut memaklumkan dua daripada premis-premis yang diserbu adalah Sekolah Rendah Islam dan Maahad Tahfiz yang berdaftar dengan JAIS.
Bagi Sekolah Rendah Islam, sekolah berkenaan menggunakan silibus JAIS, dan sepanjang pemantauan dibuat di sekolah tersebut, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan.
“Sekolah berkenaan terdiri daripada 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS. Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah tersebut pada 13 Januari 2023, 23 Mac 2023 dan 26 Julai 2024, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan.
“Maahad ini terdiri daripada 3 orang kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri.
“Sebanyak lapan buah sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan JAIS, dua daripadanya telah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi telah tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran, manakala baki masih lagi beroperasi sehingga 2028,” katanya.
Ujarnya lagi, berhubung dengan isu GISBH yang sedang tular, pihak JAIS telah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS).
Penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan bagi mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak-pihak lain bagi melengkapkan siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.