comscore
Tumpuan :
Nasional

OP KESAN 2.0: KPDN Perak tingkat pemantauan, elak pencatutan harga barang dan perkhidmatan

Datuk Kamalludin Ismail, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak

Oleh: Kumaran Rajamoney

MANJUNG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan memastikan tiada elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengunapakai alasan pelarasan harga runcit diesel.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail menjelaskan, seramai 164 pegawai dan anggota penguatkuasa bersama 74 Pegawai Pemantau Harga digerakkan bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Penguatkuasaan akan dilakukan mengikut Peraturan Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Ini dilakukan berdasarkan data harga dan caj perkhidmatan yang telah dikumpul bermula 2 Mei lalu.”

“Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan. Kita juga telah menubuhkan pasukan tugas khas (task force) di peringkat Ibu Pejabat bagi menyelaras dan menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di sini, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan ini akan dijalankan di seluruh negeri Perak melibatkan semua segmen perniagaan.

KPDN Perak juga katanya melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) yang kini bermula dari jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam kepada 9.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari agar siasatan segera dapat dilakukan ke atas aduan yang diterima berhubung pelaksanaan SKDS dan aduan kenaikan harga dan perkhidmatan.

Langkah lain termasuk menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan-aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima.

Saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 untuk membolehkan orang ramai untuk mengemukakan sebarang maklumat dan aduan berkaitan pelaksanaan SKDS dan aduan caj, harga dan bekalan.

Selain talian khas itu, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat menerusi aplikasi WhatsApp ke nombor 019-279 4317/019-848 8000; atau Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

Tindakan yang tegas katanya akan diambil terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan/syarikat manakala sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini