Tumpuan :
Nasional

Op Ragada: Bekas Datuk Bandar, pengarah syarikat media dibebaskan dengan jaminan polis

KUCHING: Bekas Datuk Bandar dan seorang bekas pengurus besar syarikat kumpulan media yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram menerusi Op Ragada dibebaskan lewat petang semalam.

Sumber berkata, lelaki berusia 67 tahun dan wanita bergelar ‘Datuk’ berusia 71 tahun ditahan di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek dibebaskan kira-kira jam 6 petang dengan jaminan polis selepas keterangan direkodkan.

Setakat ini seramai tujuh individu ditahan dalam Op Ragada iaitu lima lelaki dan dua wanita berusia antara 26 hingga 62 tahun.

Semalam, seorang lelaki berusia 53 tahun dan wanita berusia 62 tahun direman dua hari oleh Mahkamah Majistret Kuching, sebelum mereka diterbangkan ke Kuala Lumpur, malam ini.

Jumaat lalu, media melaporkan lima individu berusia 26 hingga 62 tahun ditahan dalam Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang, susulan maklumat risikan mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September, tahun lalu.

Suspek disyaki turut menipu tender selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

Hasil serbuan dijalankan, pasukan AMLA Bukit Aman turut menyita serta membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 409, Seksyen 420 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini