comscore
Tumpuan :
Nasional

Op Selamat: 16 kematian pada 2 Syawal

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian akibat kemalangan maut mencatat penurunan dengan hanya 16 kematian dicatatkan di seluruh negara pada hari keempat penguatkuasaan Op Selamat Ke-22 sempena sambutan Aidilfitri, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, jumlah itu lebih rendah berbanding 35 kematian direkodkan kelmarin.

Beliau berkata jumlah kemalangan jalan raya yang direkodkan semalam, juga menurun satu angka kepada 1,288 kes, berbanding 1,289 kes, kelmarin.

“Jumlah 35 kematian pada 1 Syawal itu berlaku mungkin atas pelbagai faktor termasuk keghairahan orang keluar beraya menyebabkan jalan sesak sehingga berlaku kemalangan.

“Untuk semalam, jumlah kematian direkodkan jauh lebih rendah berbanding kelmarin mungkin kerana ramai yang tidak keluar berhari raya dan berehat sebelum mereka pulang ke kota,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menjangkakan trafik akan kembali sesak esok apabila orang ramai akan mula pulang ke kediaman masing-masing.

Esok, beliau akan ke Gua Musang untuk meninjau aliran trafik di sana berikutan daerah itu dijangka akan mengalami kesesakan teruk.

“Selain itu, aliran trafik di Kuala Selangor dijangka akan mengalami kesesakan bagi mereka yang menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kerana di Kuala Selangor terdapat 15 lampu isyarat.

“Bagaimanapun JSPT sudah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu melancarkan aliran trafik kerana kawasan itu hanya dua lorong sedangkan ribuan kenderaan yang akan menggunakan laluan di situ,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan.

Op Selamat Ke-22 dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ dikuatkuasakan bermula 8 April lalu hingga 13 April ini di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini