comscore
Tumpuan :
Nasional

Op Selamat Aidilfitri: 359 kes kemalangan direkod di Terengganu 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan (tengah) menyaksikan penyerahan jawatan Ketua Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik Terengganu oleh DSP Asmadi Abdullah (kiri) kepada Supt Afandi Hussin pada Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 359 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Op Selamat 22/2024 sempena Hari Raya Aidilfitri di Terengganu.

Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan, tujuh daripada kes tersebut melibatkan kemalangan maut mengakibatkan tujuh kematian di jalan persekutuan, jalan negeri dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Selain itu, beliau berkata sebanyak 9,052 saman telah dikeluarkan terhadap pesalah jalan raya dengan nilai keseluruhan sekitar RM20,000.

“Kadar kemalangan maut yang dicatatkan sepanjang enam hari Op Selamat tahun ini yang bermula 8 April berkurangan kepada tujuh kes berbanding sembilan kes tahun lepas.

“Sebahagian besar saman dikeluarkan atas kesalahan memandu melebihi had laju, memotong barisan dan melanggar lampu isyarat merah,” katanya selepas Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu.

Sementara itu, Mazli berkata sebanyak 12 kes pecah rumah direkodkan dalam tempoh pelaksanaan Op Selamat 22/2024.

Bagaimanapun, beliau berkata kes berkenaan berlaku di luar kawasan yang berdaftar dengan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Tahun ini polis Terengganu menerima 490 permohonan termasuk melalui VSP dan isian borang di balai-balai polis.

“Unit peronda sentiasa memantau kawasan rumah yang berdaftar dan alhamdulillah tiada kes jenayah dilapor berlaku di situ,” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini