comscore
Tumpuan :
Nasional

Op Transit:Pengarah syarikat, tiga pegawai penguat kuasa antara tujuh ditahan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion.

Menurut sumber, kesemua suspek yang merupakan dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an ditahan dalam Ops Transit lewat petang semalam di beberapa lokasi sekitar Pelabuhan Klang.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga  Pegawai Agensi Penguat kuasa, seorang Pengarah Syarikat dan tiga pekerja syarikat telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 Jun depan terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikah Rohanuddin.

 

“Sindiket ini dipercayai telah membuat pengisytiharan palsu dalam Borang Kastam bagi mengelakkan dikenakan cukai dan pengimportan barangan yang memerlukan permit import beberapa agensi seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Dalang sindiket ini ialah seorang warga Singapura dan kini masih berada di luar negara kerana bercuti bersama keluarga dan daripada tangkapan tersebut SPRM telah membekukan sembilan akaun bank milik syarikat dan individu-individu terbabit,” katanya.

Hasil operasi yang dijalankan oleh SPRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Rabu lalu telah berjaya menahan 19 buah kontena yang mengandungi pelbagai barangan import.

Daripada pemeriksaan yang dibuat, sebanyak lima buah kontena telah dibuka dan mendapati ia mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi yang diproses.

Kesemua kontena-kontena tersebut diisytiharkan sebagai barangan import termasuk kerusi roda (wheel chair), tekstil dan jamban duduk (commodes) bagi mengelakkan cukai.

Anggaran kasar nilai 19 kontena yang telah ditahan termasuk cukai berjumlah kira-kira RM10 juta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Kata beliau, SPRM juga akan menyiasat kes ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Beliau menjelaskan hasil perbincangan dengan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin sebelum ini, kes-kes yang melibatkan pengisytiharan palsu dan lain-lain kesalahan sebagaimana tertakluk di bawah Akta Kastam 1967 akan dikendalikan oleh pihak JKDM manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneliti seluruh aspek pembayaran cukai syarikat dan individu yang terlibat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini