comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi 25 syarikat pelancongan diberi lesen Pengelola Jemaah Haji dipantau ketat TH

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji TH, Anuar Ahmad – FOTO: NSTP

MAKKAH: 25 syarikat pelancongan yang diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk membawa jemaah haji pakej dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan sentiasa dipantau Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memastikan tahap piawaian perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji TH, Anuar Ahmad berkata, pemantauan dilakukan bermula dari operasi di tanah air hingga ke Tanah Suci termasuk soal penyelarasan penerbangan dengan pesawat sewa khas, penginapan di Madinah dan Makkah sehingga penempatan di khemah di Masyair.

“Kita di bahagian operasi PJH ini perlu pastikan setiap ringgit yang diambil dari jemaah ini benar-benar setimpal dengan wang yang mereka laburkan dan yang bayar kepada PJH ini.

“Ini peranan utama bahagian operasi PJH dari segi pelarasan dan pemantauan bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia dapat perkhidmatan terbaik tidak kira sama ada mereka menunaikan haji menerusi TH atau PJH,” katanya kepada Petugas Media THdi Ibu Pejabat TH di sini baru-baru ini.

Pada tahun ini, katanya, sebanyak 26 peratus jemaah haji Malaysia memilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu menerusi PJH dan mereka adalah dalam kalangan mempunyai kewangan yang kukuh.

Ini memandangkan setiap pakej yang ditawarkan oleh PJH kebiasaannya bermula dari harga RM50,000 hingga RM200,000 bergantung kepada kelas penerbangan, jarak hotel dengan masjid serta penyediaan makanan.

Menurut Anuar lagi, segala dokumentasi termasuk pasport dan visa akan dikendalikan sepenuhnya oleh TH.

“Tiada kebimbangan di situ dan Insya-Allah boleh pergi dengan PJH dan terjamin. Ini kerana untuk memohon lesen PJH ini mereka perlu melalui saringan dan ujian yang ketat, kalau tidak dijaga lesen mereka boleh dibatalkan,” katanya lagi.

Semua syarikat yang dilesenkan ini ada perjanjian dan syarat yang sudah persetujui dan setiap tahun mereka perlu memohon semula bagi memastikan setiap PJH berada ditahap terbaik.

Sementara itu, Anuar menjelaskan tiada istilah potong barisan dari kalangan jemaah haji kerana sebenarnya tawaran adalah kepada jemaah haji yang sememangnya sudah layak dan sudah termasuk dalam kuota 31,600 jemaah, kemudiannya mereka akan memilih sama ada hendak kekal sebagai jemaah muassasah atau pakej.

“Mereka yang layak akan dapat tawaran muassasah dan kemudian mereka boleh kekal sama ada dengan PJH atau kekal dengan muassasah. Maknanya kena layak dulu dan giliran tidak boleh dijual beli,” jelasnya lagi sambil menambah bahawa setiap rayuan boleh dibuat secara terus melalui THijari ketika dibuka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini