comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi banteras penjaja haram turut sasar warga asing – Dr Zaliha

Operasi banteras penjaja haram di sekitar ibu kota tidak hanya menyasarkan warga tempatan, tetapi juga warga asing.

KUALA LUMPUR: Operasi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas gerai haram dan aktiviti penjaja tanpa lesen sekitar ibu kota sepanjang tahun lalu tidak hanya menyasarkan warga tempatan, sebaliknya juga menumpukan kepada bukan warganegara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, menangani isu penjaja tanpa kebenaran antara fokus utama DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan, yang tegas melaksanakan operasi dengan mengeluarkan notis kesalahan serta sitaan ke atas penjaja yang didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Berdasarkan statistik 2023, sebanyak 2,475 Notis Kesalahan di bawah UKK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 telah dikeluarkan ke atas aktiviti penjaja tanpa lesen, termasuk gerai-gerai haram.

“Dalam tempoh sama, sejumlah 1,581 tindakan sitaan melibatkan aktiviti penjajaan tanpa lesen oleh warganegara.

“Manakala aktiviti penjajaan oleh bukan warganegara, sebanyak 2,717 kes sitaan diambil tindakan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang mahu kerajaan menyatakan statistik gerai haram di Kuala Lumpur termasuk tindakan DBKL menangani isu berkenaan.

Dalam memastikan penguatkuasaan lebih efektif, Dr Zaliha berkata DBKL menempatkan pegawai dan anggotanya di setiap Parlimen seluruh Kuala Lumpur.

Beliau berkata, objektifnya bagi melaksanakan rondaan dan pemantauan secara harian.

Pada masa sama, katanya, DBKL turut bekerjasama dengan pihak berkuasa lain dalam memastikan tindakan lebih bersepadu terhadap isu berbangkit.

“Selain itu, DBKL dengan agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen telah menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan operasi secara bersepadu dan berkala,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini