Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merekodkan sebanyak RM150 juta nilai sitaan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu direkodkan daripada tahun 2021 hingga Julai 2024 dengan penangkapan melibatkan 431 warga tempatan dan 91 warganegara asing.
“Atas dasar itu Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama PERHILITAN telah pun mengambil langkah-langkah menerusi inisiatif yang dipanggil renjer komuniti yang bermula dengan 1000 orang, 1500 dan sekarang 1920.
“500 ada di Sabah dan Sarawak yang selebihnya di Semenanjung dan mereka ini terdiri daripada komponen Orang Asli yang sangat mahir dan biasa berurusan hidupan liar, komuniti setempat dan juga veteran angkatan tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jadi ini kita lihat telah berjaya bersama sama juga OBK yang telah dibuat dengan pihak berkuasa lain dan badan bukan kerajaan di seluruh negara.” Ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Dewan Rakyat.
Kerajaan Persekutuan melalui kementerian komited dalam mengimbangi keperluan pembangunan di samping memelihara kawasan hutan simpan.
Antara usaha yang sedang dan telah dilaksanakan adalah menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan EFT yang dilaksanakan sejak tahun 2019.
Insentif ini diberi kepada kerajaan negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada serta menambah kawasan perlindungan dan Hutan Simpan Kekal yang baharu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.