comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi bomba dilanjutkan 24 jam hadapi banjir

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KEPALA BATAS: Operasi penugasan anggota bomba dilanjutkan daripada 12 jam kepada 24 jam bagi menghadapi situasi banjir yang kini dilaporkan melanda beberapa negeri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata penjadualan semula penugasan itu dilakukan demi memastikan kesemua kawasan dilanda banjir berada dalam keadaan terkawal.

Katanya, seramai 29,000 anggota bomba termasuk anggota bomba bantuan dan pasukan bomba sukarela (PBS) bersiap siaga pada tahap tertinggi untuk misi membantu serta menyelamat mangsa banjir.

“Selain penjadualan semula penugasan, cuti 80 peratus anggota bomba turut dibekukan. Aset yang ada juga sudah dikerahkan ke kawasan berisiko berlaku banjir.

“Dalam pada itu, anggota bomba mewujudkan pasukan respon (tindak balas) yang saya lihat apabila berlaku bencana, bomba paling ke depan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Aku Janji Demi Kepala Batas, di Wisma UMNO, malam tadi.

Beliau berkata, sebagai menteri ‘caretaker’ beliau masih dimaklumkan berhubung perkembangan asas berlaku mengenai situasi banjir pada ketika ini.

Terdahulu, beberapa negeri antaranya Selangor dan Pulau Pinang dilaporkan dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan ada beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) terpaksa dibuka bagi menempatkan mangsa banjir. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini