Tumpuan :
Nasional

Operasi kesan 3 nelayan hilang di Kuala Kedah dihentikan malam tadi

Foto fail NSTP

LANGKAWI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan yang hilang bersama bot ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Kedah, Kedah ke Kuala Kurau, Perak pada 26 Januari lalu, dihentikan pada jam 7.30 malam tadi walaupun tiga mangsa iaitu tekong, Aree Tomyang, warga Thailand dan dua awak-awak tempatan, Rosli Hassan, 49, serta Zamri Harun, 37, masih gagal dikesan.

Bagaimanapun, SAR berkenaan akan diaktifkan semula jika pihak berkuasa mendapat petunjuk baharu berhubung kehilangan ketiga-tiga mangsa terbabit.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Romli Mustafa, berkata SAR yang dilaksanakan selama empat hari itu ditamatkan pada jam 7.30 malam tadi, selepas usaha mengesan mereka tidak menemui sebarang petanda.

Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi sebelum itu menerima aduan kehilangan tiga mangsa bersama bot dinaiki mereka daripada pemilik bot, Rama Nair pada 30 Januari lalu.

Susulan itu SAR diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 31 Januari lalu merangkumi kawasan seluas 1,868.9 kilometer persegi dari perairan Kuala Kedah hingga Kuala Kurau, Perak.

“SAR akan ditubuhkan semula sekiranya menemui petunjuk yang baharu,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah bot dikendali dua awak-awak warga tempatan dan seorang warga Thailand hilang ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Kedah, Kedah ke Kuala Kurau, Perak pada jam 11.30 malam 26 Januari lalu.

Ketiga-tiga awak-awak dan bot berkenaan tidak tiba di Kuala Kurau seperti dijadualkan, selain gagal dihubungi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini