comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi Khas JPJ Di PUSPOKOM, 123 Notis Dikeluarkan

FOTO : Ihsan JPJ

MELAKA : Sebanyak 123 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam Ops Khas Puspakom di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Alor Gajah, di sini, semalam.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata notis itu dikeluarkan pihaknya selepas anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap 154 kenderaan membabitkan perdagangan dan persendirian.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang diperiksa, 65 dikenakan tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik.

“Notis JPJ P (22) yang membabitkan kesalahan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans merekodkan jumlah tertinggi dengan 77 notis.

“34 lagi adalah notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan dan bakinya sebanyak 12 notis pula PG1 iaitu larangan penggunaan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan yang turut dikesan dalam operasi itu adalah kesalahan teknikal seperti nombor pendaftaran, cermin gelap, tiada hon serta lampu brek.

“Operasi dijalankan menyasarkan kenderaan persendirian dan juga perdagangan yang meliputi kesalahan peraturan jalan raya di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959,” katanya.

Muhammad Firdaus berkata, selain penguatkuasaan ke atas kenderaan di luar premis PUSPAKOM, operasi itu turut memfokuskan perhatian terhadap penilaian dan pematuhan kepada standard pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan itu.

“Sebelum ini ada pemeriksaan rutin diadakan tetapi untuk hari ini (semalam) buat kali pertama, 17 anggota Bahagian Penguatkuasa bersama Bahagian Kejuruteraan Automotif, masuk dan jalankan pemeriksaan di PUSPAKOM.

“Ia susulan aduan dan keluhan daripada pengguna. Setiap aduan atau rungutan kita ambil cakna dan tindakan bagi memastikan kualiti penyelenggaraan teknikal kenderaan khususnya kenderaan perdagangan terjamin,” katanya.

Katanya, purata pemeriksaan dijalankan PUSPAKOM Alor Gajah adalah sebanyak 361 kenderaan, ia berdasarkan kepada jumlah yang terbabit bagi tempoh 1 hingga 11 Oktober. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini