KUALA LUMPUR: Tindakan seorang individu menceroboh masuk kawasan landasan antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral jam 7.08 malam tadi menyebabkan berlaku gangguan operasi.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, kakitangan Pusat Kawalan Operasi mengesan suspek menceroboh kawasan landasan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di platform.
Atas faktor keselamatan serta mengikut piawaian standard operasi (SOP), bekalan kuasa terpaksa dimatikan bagi membolehkan Polis Bantuan serta petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk mencari suspek.
“Hasil siasatan mendapati, tiada kelibat suspek ditemui setelah pemeriksaan landasan dijalankan beberapa kali oleh kakitangan operasi.
“Suspek dipercayai telah melarikan diri tanpa dikesan,” kata Rapid Rail dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu pasukan Polis Bantuan Prasarana membuat satu laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi bagi tindakan selanjutnya.
“Perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya kembali pulih sepenuhnya pada jam 8.01 malam dan kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat.
“Siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama pihak berkuasa bagi menyiasat insiden pencerobohan ini agar langkah keselamatan dapat diperkemaskan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.