comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi SAR Muhammad Hawari diperluas ke Kem Empat 

PUTRAJAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest (ME2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, yang dipercayai hilang di pergunungan Everest sejak 19 Mei lalu diteruskan hari ini menggunakan teknologi dron.

Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak, berkata operasi SAR dimulakan 9 pagi waktu Nepal dan hari ini melebarkan radius pencarian sehingga ke Kem Empat 8,000 meter dari aras laut.

Menurutnya, operasi SAR yang berjalan dua hari sebelum ini membabitkan kawasan di Kem Dua dan Tiga masih berdepan jalan buntu dan tiada sebarang petunjuk ditemui.

Katanya, pencarian di Kem Empat turut membabitkan kawasan ‘zon maut’ yang sangat berbahaya serta sukar dimasuki pasukan penyelamat.

“Kita akan teliti dan semak semula gambar dan video yang dirakam di semua kem menggunakan skrin besar supaya ia lebih jelas sekiranya ada menunjukkan sebarang petunjuk,” katanya.

Operasi SAR Muhammad Hawari yang memasuki hari ketiga hari ini hanya berbaki dua hari selepas pihak berkuasa Nepal memberi ihsan lima hari untuk operasi SAR.

Selain Azim, operasi SAR yang bermula Sabtu lalu turut disertai seorang jurugambar yang juga berkemahiran berkenaan pengendalian dron serta dua malim gunung.

Sementara itu, seorang pendaki ME2023, Tiong Ling Yang dan pengurus pasukan, Ayu Wanirah Naharuddin ditempatkan di Gorakshep (5,164 meter dari aras laut) bagi kerja-kerja logistik.

Azim berkata, cuaca hari ini juga baik dan memudahkan mereka untuk mengendalikan dron sehingga 8,600 meter dari aras laut.

Katanya, kehilangan Muhammad Hawari memasuki hari ke-18 hari ini dan operasi SAR hari ini akan diadakan sehingga lewat petang serta berharap cuaca baik sepanjang pencarian.

“Kami masih tidak berputus asa dan akan meneruskan operasi SAR sehingga hari terakhir Rabu ini sebelum sebarang ketetapan dibuat sama ada untuk meneruskan atau menutup operasi,” katanya.

Loading...
Terkini