comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi SAR pemancing jatuh sungai diteruskan

PONTIAN: Seorang pemancing hilang dikhuatiri lemas manakala rakannya diselamatkan selepas terjatuh ketika memancing di tepian Medan Selera Pekan Benut, Pontian malam tadi.

Berikutan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata operasi mencari diteruskan pagi tadi, selepas dihentikan semalam kerana keadaan gelap selain air berpusar.

Ujarnya, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.10 malam tadi memaklumkan dua lelaki yang sedang memancing di tepian Medan Selera Persisiran Sungai Benut terjatuh ke dalam sungai.

“Seorang daripada mangsa berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki lain yang turut memancing di kawasan itu manakala rakan mangsa masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, identiti mangsa yang diselamatkan tidak dapat diperoleh kerana lelaki terbabit menghilangkan diri sebelum agensi penyelamat tiba ke lokasi kejadian.

Sementara itu, menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Azhar Abd Jalil,  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, seramai 11 anggota dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari BBP Skudai dan sebuah bot dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Operasi mencari mangsa dijalankan menggunakan teknik ‘surface searching’ dan selaman oleh pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

Hingga kini usaha mengesan mangsa masih diteruskan.

Loading...
Terkini