comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi SAR wanita dihanyut arus deras disambung esok

Pasukan menyelamat menemui mayat seorang lelaki di percayai anak lelaki mangsa pada operasi mencari dua beranak yang dihanyutkan air sebelum hilang di kawasan banjir di Kampung Tanjung.-Foto: NSTP

PADANG TERAP: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita yang dihanyutkan arus deras ketika banjir di Kampung Tanjung Kanan, dekat sini ditangguhkan pada jam 7 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, pencarian Salmah Mat Zain, 46, setakat ini tidak menunjukkan sebarang petunjuk pada petang ini walaupun operasi SAR tertumpu di kawasan mangsa dilaporkan dihanyutkan arus deras.

Beliau berkata, operasi pencarian akan disambung pagi esok dan dilakukan di tempat yang sama juga.

“Pasukan penyelamat hanya menemui sepasang selipar wanita pada jam 3 petang dan sebelah selipar lelaki tidak jauh dari lokasi pencarian.

“Selain itu, di kawasan ini iaitu kiri dan kanan jalan ditenggelami air hari ini dan air di sebelah kanan ni melalui satu longkang kecil ke bahagian kiri dan kita akan buat pemantauan di sini malam ni.

“Kita risau takut mangsa akan dibawa ke sebelah kiri kerana kawasan penemuan jasad di anak tu itu ditemui di celahan pelepah kelapa sawit dan berkemungkinan jasad ibunya juga Ada di hawah tulah,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.

Mulkiaman berkata, jika keadaan cuaca makin baik dan tidak hujan, air akan terus surut cuma keadaan cuaca mendung semula ketika jam 7 petang ini.

Bagaimanapun katanya, pasukan bomba akan berada di lokasi kejadian untuk memantau keadaan dan melakukan pencarian di sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat Anjing Pengesan (K-9) JBPM sekiranya mangsa belum ditemui.

Media sebelum ini melaporkan, dua beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa, Muhammad Rosman Rohadi, 19, dan ibunya, Salmah Mat Zain, 46, yang dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras.

Bagaimanapun, jasad Muhammad Rosman yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran itu ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah tersangkut pada pelepah kelapa sawit di dasar kawasan banjir itu pada jam 5.35 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini