comscore
Tumpuan :
Nasional

Ops Kesan 2.0 banteras pencatutan menjelang penyasaran subsidi diesel mulai esok – KPDN

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Kesan 2.0 di seluruh negara bermula esok, sebagai persiapan memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Ops Kesan 2.0 adalah kesinambungan kepada Ops Kesan 1.0 yang dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan Cukai Perkhidmatan pada 1 Mac lalu.

Katanya, pelaksanaan Ops Kesan 2.0 ini adalah untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak.

“KPDN menerusi Bahagian Penguatkuasa akan menggerakkan lima pendekatan iaitu proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang bermula pada 2 Mei lalu.

“Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Kita juga menubuhkan pasukan tugas khas (task force) 15 anggota di peringkat ibu pejabat bagi menyelaras dan menyelesaikan isu yang timbul daripada pelaksanaan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Libat Urus Bersama Lebih 150 Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di Hotel The Grand Renai di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, bagi memudahkan aduan kenaikan harga dan perkhidmatan daripada orang ramai, waktu operasi Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) yang kini dibuka 9 pagi hingga 8 malam dilanjutkan sehingga 10 malam bermula esok.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam. Jika ada kenaikan, pihak berkenaan termasuk peniaga dan pemilik premis serta mereka yang terbabit akan diberi notis yang perlu dijawab dalam tempoh enam hari.

“Selain itu, kita juga menyediakan saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 untuk membolehkan orang ramai untuk membuat aduan berkaitan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. Pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Antipencatuan 2011 (Akta 723) yang boleh didenda sehingga RM500,000 bagi syarikat, manakala RM100,000 kepada individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini