AMPANG: Tiada pasport tetapi sibuk rakam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan buat kecoh serta pura-pura pengsan apabila ditahan dalam Ops Kutip di Pusat Beli-Belah Ampang Point, di sini, semalam.
Itu tindakan seorang wanita warga asing yang membuat kecoh di hadapan pintu masuk pusat beli-belah berkenaan selepas ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan ketika diarahkan oleh pegawai bertugas.
Sebelum itu, wanita berkenaan secara bersahaja membuat rakaman di sebelah pegawai JIM Selangor yang berpakaian preman tetapi mempamerkan lencana jabatan.
Lantas, pegawai bertugas meminta wanita itu untuk tidak membuat rakaman dan pada masa sama mengarahkannya menunjukkan dokumen pengenalan diri, namun individu gagal berbuat demikian.
Ketika ditahan, wanita warga emas itu meronta-ronta dan berpura-pura pengsan di tengah-tengah ruang legar pusat beli-belah itu semasa ingin dibawa ke atas lori JIM.
Itu antara kerenah warga asing yang perlu dihadapi pegawai dan anggota JIM Selangor dan disaksikan sendiri oleh wartawan yang menyertai operasi bermula 7 malam hingga 9 malam itu.
Selain itu, ada juga warga asing yang memberikan pelbagai alasan bagi mengelak ditahan, antaranya mengaku memiliki pas pelajar tetapi pasport pada majikan.
Ada juga sebuah keluarga warga asing dipercayai dari Asia Selatan berkelakuan biadap dan meninggikan suara ke arah pegawai JIM kerana sambil berulang kali mendakwa diri mereka sebagai warga Kesatuan Eropah.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Amimus Kamarudin berkata, 200 individu diperiksa dan 92 pendatang asing tanpa izin (pati) ditahan dalam operasi itu.
“Warga Indonesia paling ramai ditahan seramai 31 orang, Bangladesh (16), Afghanistan (10), Myanmar (3), Nepal (4), Pakistan (8), Nigeria (1), Australia (3), Maghribi (1), India (3), Sierra Leone (1), German (1), Sweden (1), Filipina (2), Thailand (4), dan Norway (1).
“Kesemua tahanan ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi itu diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor, Johari Supardi bersama 33 pegawai dan anggota pelbagai pangkat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.