comscore
Tumpuan :
Nasional

Ops Payung akan dilaksanakan bantu calon SPM, STPM terjejas banjir di Johor

Mangsa banjir yang juga pelajar, Muhammad Aidid Asraf Rozzeli, 17, (kiri) bersama ibu dan adiknya menyemak dokumen penting untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok di PPS di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Johor. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: ‘Ops Payung’ akan dilaksanak Kerajaan Johor bersama Jabatan Pendidikan Negeribagi membantu calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di lokasi terjejas banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh, berkata perkara itu bagi memastikan kedua-dua peperiksaan akan berjalan seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sebagai contoh, jika jalan menuju ke pusat peperiksaan sahaja yang terlibat banjir sedangkan kediaman calon dan pusat peperiksaan tidak terbabit maka, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia akan membawa calon ke pusat peperiksaan.

“Kebebasan berpakaian diberikan kepada calon semasa peperiksaan dijalankan, kebajikan calon dan petugas peperiksaan juga adalah tanggungjawab pihak sekolah serta sekolah akan menyediakan peralatan menjawab kepada calon yang terlibat dengan banjir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini seramai 235 pelajar terjejas banjir dan sembilan buah sekolah rendah di negeri itu dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Hanya sekolah rendah sahaja dijadikan PPS, manakala sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat peperiksaan awam SPM dan STPM,” katanya.

Menurut beliau secara keseluruhan, seramai 48,276 pelajar di Johor akan menduduki SPM pada 8 Januari hingga 7 Mac ini dan 8,831 pelajar menduduki STPM bermula 22 Jan hingga 6 Februari.

Norlizah berkata, terdapat 364 pusat peperiksaan membabitkan 4,205 petugas, 900 sukarelawan dan 112 penyelia kawasan bagi SPM di Johor, manakala bagi STPM, terdapat 75 pusat peperiksaan dengan 572 petugas.

Loading...
Terkini