Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 197 pendatang asing tanpa izin (PATI) di rumah kongsi tapak pembinaan perumahan di Tuaran dan Menggatal, hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib berkata, PATI yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 sehingga 5 pagi itu termasuklah 49 orang lelaki dewasa, 54 orang perempuan dewasa, 92 kanak-kanak warga Filipina.
“Manakala warganegara Indonesia seramai dua orang lelaki warga Indonesia dan semua tahanan berusia antara tujuh bulan sehingga 62 tahun yang terdiri daripada 85 orang lelaki dan 112 perempuan.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat dua lokasi serbuan di kawasan tapak pembinaan perumahan yang berkonsepkan penempatan rumah kongsi di Tuaran dan Menggatal.
“Pola penempatan tersebut dibina secara berkelompok di atas bukit dengan keadaan tanah yang berlumpur.
Kegagalan dalam menyediakan persekitaran rumah yang kondusif menjadi trend menyebabkan PATI terpaksa membina rumah dengan keadaan bersempit dan bersesak yang memuatkan keluarga yang memberi implikasi negatif kepada kehidupan sosial kanak-kanak yang berada di kawasan terbabit,”
Katanya, semasa serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak samun.
Keadaan jalan berbukit dan curam ditambah dengan pelbagai helah cuba dilakukan PATI berkenaan menyukarkan pergerakan pasukan operasi serta memberi risiko keselamatan termasuk berlaku pergelutan dengan pihak berkuasa.
“Namun keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata antara kesalahan yang dikesan termasuklah tiada dokumen pengenalan diri Seksyen 6(1)(c) dan tinggal lebih masa bagi Seksyen 15(1)(c).
Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“JIM juga mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat berkenaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.