Tumpuan :
Nasional

Ops Sky: Jalaluddin sedia beri kerjasama dengan SPRM

Jalaluddin tenang kerana pihak syarikat perunding kewangan memberi jaminan dirinya bersama dua selebriti lain tidak terbabit dalam isu berkenaan. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan sedia memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan membabitkan isu syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.

Meskipun terkejut dengan dakwaan berkenaan, namun Jalaluddin mengakui dia tenang kerana pihak syarikat perunding kewangan berkenaan memberi jaminan dirinya bersama dua selebriti lain tidak terbabit dalam isu berkenaan.

“Bila isu ini timbul, saya agak terkejut. SPRM juga belum hubungi saya. Tetapi jika dihubungi untuk beri kerjasama, sudah tentu saya akan lakukannya.

“Pengasas syarikat perunding kewangan berkenaan beritahu, saya selaku duta tidak terkesan apa-apa,” katanya ketika ditemui pada majlis Bulan Bintang Sedekad Menyinar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi.

Jalaluddin berkata, sebagai duta, dia hanya menjalankan tugas seperti termaktub dalam kontrak.

“Saya hanya duta sahaja untuk hasilkan video dan mempromosikan syarikat. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu.

“Bila saya tanya mereka kedudukan kewangan sejak dahulu hingga kini, semuanya puas hati dan tiada mencurigakan,” ujarnya.

Jalaluddin turut menafikan menerima bayaran sehingga RM400,000 seperti yang ditularkan.

“Alangkah bertuahnya saya mendapat wang sebanyak ini. Saya tidak mahu cerita dan menafikan perkara ini. Biarlah pihak berkuasa menyiasat,” katanya lagi.

Terdahulu, Jalaluddin bersama angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain disebut sebagai antara selebriti yang bakal dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.

Ia adalah usaha SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini