
SHAH ALAM: “Tiada komen, saya hanya menyanyi sahaja.”
Demikian jawapan ringkas penyanyi Ziana Zain susulan laporan berhubung beberapa selebriti termasuk artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Bagaimanapun, Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain memahami tugasan pihak media yang inginkan penjelasan berhubung perkara itu.
“Tak mengapa, saya faham,” katanya yang ditemui selepas tamat program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) peringkat separuh akhir di Studio TV3, Glenmarie, di sini, malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung beberapa selebriti termasuk artis terkenal dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Katanya, mereka akan dipanggil minggu ini untuk membantu siasatan.
Keterangan akan diambil selepas siasatan mendapati terdapat sejumlah dana digunakan untuk selebriti, termasuklah menjadi wajah kepada syarikat berkenaan.
“Daripada keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, selebriti ini menerima bayaran antara RM150,000 hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat.
“SPRM juga mengesan terdapat bayaran turut dibuat untuk tajaan konsert dan gubahan lagu khas bagi sindiket berkenaan,” katanya.
Siasatan terhadap selebriti berkenaan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.