SEPANG: Sebanyak 71 kematian dilaporkan akibat kemalangan di tapak pembinaan seluruh negara berdasarkan statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) bagi tempoh Januari hingga September.
Ketua Pengarah JKKP, Ir Mohd Hatta Zakaria berkata, dalam usaha mengurangkan angka kematian di tapak pembinaan, pihaknya melaksanakan tiga siri Operasi Tapak Pembinaan (OTP) di seluruh negara bermula Februari.
Menurutnya, 157 kes kecederaan dilaporkan tahun ini membabitkan 71 kematian dimana 21 daripadanya akibat terjatuh daripada tempat tinggi.
“Sepanjang tahun lalu sebanyak 1,114 kes terjatuh dari tempat tinggi dilaporkan kepada JKKP membabitkan 203 individu cedera dan mengakibatkan 68 kematian.
“Justeru, JKKP melaksanakan operasi OTP Bil 1/2024 di seluruh negara bertemakan ‘Tapak Selamat, Tiada Jatuh Lagi’ membabitkan 133 tapak pembinaan bermula 27 Februari hingga 6 Mac,”katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan di sekitar Cyberjaya, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKKP Selangor, Ir Ahmad Jailani Mansur.
Beliau berkata, JKKP akan mengeluarkan notis kepada pemilik tapak pembinaan berkenaan dan mengarahkan mereka untuk menambah baik ciri keselamatan di tapak berkenaan secepat mungkin.
Mengulas lanjut Mohd Hatta berkata, 192 tapak pembinaan diperiksa menerusi OTP Bil 2/2024 yang memberi fokus kepada pindaan baharu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022, bermula 2 hingga 13 September.
“Seterusnya bermula 25 hingga 29 November JKKP melaksanakan OTP Bil 3/2024 membabitkan pemeriksaan ke atas 150 tapak pembinaan di seluruh negara.
“Secara keseluruhan sebanyak 475 tapak pembinaan diperiksa sepanjang OTP dilaksanakan tahun ini di seluruh negara dengan 498 Surat Arahan, Notis Larangan (416), Notis Pembaikan (187), Notis Sita (102), dan Cadangan Kompaun (103) dikeluarkan,”katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.