comscore
Tumpuan :
Nasional

Ops Tiris 3.0 catat RM12.46 juta nilai rampasan

FOTO: NSTP

TUMPAT: Ops Tiris 3.0 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan RM12.46 juta dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, nilai rampasan itu adalah membabitkan 986 kes hasil daripada 19,337 pemeriksaan ke atas premis dalam tempoh berkenaan.

“Kes membabitkan rampasan pelbagai jenis barangan termasuk diesel, petrol, minyak masak dan gula. Sepanjang tempoh itu juga 360 tangkapan dilakukan membabitkan warga tempatan dan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di sempadan di Sungai Golok di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.

Datuk Armizan berkata, pihaknya melakukan dua penambahbaikan menerusi Ops Tapis 3.0 daripada tumpuan diesel kepada barang kawalan dan bersubsidi lain.

“Insya-Allah Ops Tiris ini akan dilaksanakan sehingga akhir tahun ini sebelum kita menilai semula untuk tahun depan,” katanya.

Mengulas mengenai tinjauan di sempadan, Datuk Armizan berkata, lawatannya itu bagi melihat sendiri operasi penguatkuasaan di pintu masuk sempadan Kelantan-Thailand.

Pada masa sama katanya, ia bagi memperkukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara KPDN dan agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Berdasarkan tinjauan, kita dapat melihat sendiri kepelbagaian cabaran penguatkuasaan di kawasan sempadan. Sungai Golok ada keunikan tersendiri di mana ia sungai yang panjang dan sempit yang mengundang kepada kegiatan penyeludupan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini