comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ops Tiris: KPDN kesan rakyat tempatan tali barut seleweng diesel subsidi

FOTO: KPDN

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bersekongkol dengan rakyat tempatan untuk membekalkan diesel bersubsidi, sebelum diseludup ke negara jiran.

Itu antara modus operandi sindiket penyelewengan bahan api tersebut untuk mengaburi mata dan menyukarkan penguat kuasa mengesan kegiatan mereka.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dipatahkan menerusi Ops Tiris dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pelbagai agensi yang mula dilaksanakan sejak 1 Mac lalu.

Menurut Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof, sepanjang 16 hari operasi dan setakat semalam, sebanyak 52 kes ketirisan diesel subsidi dikesan daripada 2,075 pemeriksaan seluruh negara.

Sebanyak 522,760 liter diesel diselamatkan membabitkan nilai rampasan RM1.123 juta.

Nilai rampasan tertinggi direkodkan di Pahang dengan RM228,663; diikuti Johor sebanyak RM156,950; Negeri Sembilan (RM151,253); Kedah (RM139,707) dan Selangor (RM122,099).

FOTO: KPDN

Selain itu, nilai rampasan di Perak berjumlah RM89,876 manakala di Pulau Pinang adalah RM79,206; Melaka (RM55,900); Sarawak (RM47,381); Terengganu (RM45,150); Perlis (RM4,644) dan Kelantan (RM3,107).

Beliau berkata, tiada rampasan dilaporkan di Sabah dan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

“Perkara ini bukan mudah untuk kita pantau, siapa nak tengok setiap orang untuk tidak melakukan ketirisan apatah lagi warga tempatan boleh beli diesel bersubsidi dan mereka boleh berkumpul di satu tempat dan menjualnya semula (trade off) di situ.

“Sebelum ini kita tahu yang melakukan perkara begini adalah lori tangki. Mereka berkumpul dan senang kita tangkap tapi kalau mereka menggunakan kenderaan persendirian, itu bukan perkara mudah (untuk pantau),” katanya dalam temubual eksklusif bersama Buletin TV3 di sini.

FOTO: KPDN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu membangkitkan isu ketirisan pelaksanaan subsidi diesel dianggarkan hampir RM10 bilion, tahun lalu.

Mengulas lanjut, Azman yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak untuk menangani isu ketirisan diesel bersubsidi berkata, selain kawasan sempadan, aktiviti penguatkuasaan turut tertumpu di kawasan bandar, luar bandar, perairan atau kepulauan serta peringkat industri.

Beliau berkata, punca berlaku penyelewengan yang dikenal pasti adalah harga diesel lebih rendah, bekalan mudah diperolehi selain jarak persempadanan pendek antara negara.

FOTO: KPDN

“Rakyat tempatan sendiri mengisi minyak (diesel) penuh dalam tangki mereka, masuk ke Siam (Thailand) dan mungkin jual di situ. Dia mungkin berulang alik (ke negara jiran).

“Jadi perkara begini memerlukan kerjasama semua pihak. Di pihak penguat kuasa yang terlibat menguruskan hal sempadan, mungkin perlu pertingkat semakan pemeriksaan kereta yang keluar masuk ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan kerjasama penduduk setempat membantu menyalurkan maklumat lengkap mengenai kegiatan haram itu kepada KPDN.

“Saya mohon mereka (pemberi maklumat) supaya berhati-hati. Kadang-kadang orang terlibat (sindiket) ini boleh dikatakan penjenayah dan kita bimbang mereka melakukan sesuatu yang mengancam.

“Kita rahsiakan pemberi maklumat malah mana-mana yang telah bekerjasama baik dengan kita dan membekalkan maklumat yang sempurna, (seterusnya) kita dapat bawa kes ini ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, mereka akan diberikan sumbangan kewangan,” katanya.

Loading...
Terkini