comscore
Tumpuan :
Nasional

Op Tiris: Lebih RM4 juta rampasan diesel subsidi dalam 2 bulan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kira-kira RM4.41 juta nilai rampasan diesel bersubsidi direkodkan dalam tempoh dua bulan menerusi pelaksanaan Ops Tiris bermula 1 Mac hingga semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, sebanyak 5,371 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara bagi tempoh itu dengan 156 tindakan kes dihasilkan.

“KPDN memandang serius isu ketirisan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya yang berlaku di pintu-pintu sempadan negara kerana ianya boleh memberikan impak negatif dan kerugian yang besar kepada negara.

“Selain itu, barang kawalan dan bersubsidi ini yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia MADANI tetapi telah diseleweng atau diseludup oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan lumayan dengan melakukan aktiviti haram ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KPDN juga akan sentiasa mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan di seluruh negara dengan menjalinkan kerjasama erat bersama agensi penguatkuasaan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, antara bentuk kerjasama tersebut adalah dari segi perkongsian maklumat serta kepakaran dalam memastikan isu-isu berkaitan ketirisan barang kawalan dan bersubsidi dapat dibanteras bersama.

“Tindakan kes terbaru yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa berhubung isu barang kawalan bersubsidi terutamanya diesel di sempadan negara adalah melibatkan pihak PDRM menerusi serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stor haram yang disyaki telah melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran pada 28 April lalu di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3.6 juta.

“Manakala satu lagi kes adalah melibatkan rampasan minyak diesel oleh pihak KPDN di Kompleks ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak pada 29 April lalu yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM51,000,” katanya.

Loading...
Terkini