comscore
Tumpuan :
Nasional

Orang Asli berhabis RM4,000 adakan sambutan Aidilfitri untuk masyarakat Orang Asli beragama Islam

Antara orang ramai yang hadir pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Apek Asud di Kampung Tandrik, Pos Bihai, di Gua Musang. Foto Apek Asud.

GUA MUSANG: Seorang penduduk Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Tandrik, Pos Bihai, di sini sanggup berhabis sehingga RM4,000 bagi mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk meraikan masyarat Orang Asli yang beragama Islam.

Pelbagai juadah termasuk lemang dan ketupat dihidangkan kepada penduduk yang hadir.

Walaupun tidak beragama, Apek Asud, 40, berkata dia berbesar hati mengadakan majlis sambutan Aidilfitri itu bagi meraikan masyarakat Orang Asli yang beragama Islam di pos terbabit.

Apek Asud (kanan) dan isteri menanti kunjungan tetamu di rumah mereka di Kampung Tandrik, Pos Bihai, di Gua Musang. Foto Apek Asud.

“Kita tahu tidak semua masyarakat Orang Asli yang mampu menyediakan juadah pada hari Raya kerana masalah kewangan, malah ada di antara mereka yang hanya memakai baju harian biasa pada pagi raya.”

Ujarnya, dia amat berharap majlis seperti ini dapat mengembirakan penduduk di sini terutama mereka yang beragama islam.

Apek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) berkata semua juadah yang disediakan hasil kerjasama dan gotong royong penduduk di kawasan itu.

“Walaupun hanya ada 38 orang yang beragama Islam di Kampung Tandrik ini, kami tetap seronok dapat berkumpul bersama dan saya gembira apabila penduduk di sini hidup dalam keadaan aman.”

Jelasnya, sekiranya ada peruntukan atau rezeki lebih, program itu akan dijadikan acara tahunan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini