comscore
Tumpuan :
Nasional

Orang Asli cedera diserang harimau ketika menyumpit

Foto tular

GERIK: Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang harimau belang ketika sedang melakukan aktiviti menyumpit tupai serta mengutip hasil hutan bersama rakan di kawasan Sungai Kenarong dekat Taman Negeri Royal Belum, di sini, semalam.

Kejadian sekitar 5.30 petang itu memgakibatkan mangsa berusia 52 tahun dari Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Taman Negeri Royal Belum, di sini mengalami cedera di muka dan beberapa anggota badan akibat cakaran binatang buas itu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata pihak PERHILITAN Daerah Gerik menerima aduan berkaitan serangan pak belang itu kira-kira 9.30 malam tadi ketika mangsa sudah berada di Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, sewaktu kejadian kira-kira 5.30 petang, mangsa bersama tiga rakannya menaiki bot dari Kampung Orang Asli Sungai Tiang ke kawasan hutan Sungai Kenarong untuk mencari hasil hutan, yang mana kawasan berkenaan tiada penempatan orang asli selain kawasan itu merupakan habitat utama spesies harimau belang.

“Mangsa berjalan kaki memasuki hutan untuk menyumpit tupai, manakala tiga rakannya berada di bot sebelum tiba-tiba seekor harimau belang datang menyerang mangsa dari arah kanan.

“Bagaimanapun harimau itu kemudiannya lari serta merta. Mangsa kemudiannya terus bergerak ke tasik dan menaiki bot untuk pulang ke Kampungnya iaitu Kampung Sungai Tiang, dengan cuaca pada ketika itu hujan renyai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Gerik oleh Tok Batin jam 8.30 malam tadi untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh jam 11 malam untuk rawatan susulan.

“Pihak PERHILITAN Daerah Gerik akan membantu mangsa membuat permohonan Tabung Mangsa Serangan Binatang Buas. Waris mangsa juga diminta untuk membuat laporan polis berkaitan serangan itu.

“Kawasan kejadian merupakan kawasan hutan dan tiada penempatan Orang Asli. Kawasan itu merupakan habitat utama spesies harimau belang di Taman Negeri Royal Belum,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini