
KOTA KINABALU: Bukan sahaja menabur bakti ketika hayatnya tetapi terus berbudi setelah meninggal dunia.
Itu yang boleh dikatakan mengenai seorang Penyelia Jururawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, yang meninggal dunia akibat masalah mati otak.
Pemergiannya memberi kehidupan baharu kepada lima pesakit hasil pendermaan beberapa organnya, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna, dalam kenyataannya hari ini, berkata Allahyarham Sulimah Gilong, 59, yang berdaftar sebagai pengikrar penderma organ sejak 2015, mendermakan sepasang buah pinggang, hati dan kornea.
Beliau berkata, hasrat murni arwah untuk menjadi penderma organ selepas kematian disempurnakan setelah pihak hospital mendapat persetujuan bertulis daripada warisnya.
“Pendermaan organ dan tisu oleh Allahyarhamah dapat menyelamatkan nyawa tiga pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati serta memberi sinar penglihatan kepada dua pesakit lain.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga yang telah menunaikan hasrat beliau serta anugerah kehidupan yang diberikan,” katanya.
Dr Asits berkata, pendermaan organ Allahyarham Sulimah dilakukan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, menjadikannya kes kelima pendermaan organ di Sabah bagi 2023 setakat ini.
Katanya, ia kes pendermaan pelbagai organ dan tisu yang pertama di Sabah bagi tahun ini.
“Penderma organ dan tisu ini adalah seorang Penyelia Jururawat yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan selama 34 tahun sejak 1989.
“Tempat bertugas terakhir beliau adalah di Wad Perubatan Am 4 dan Wad Respiratori, Hospital Queen Elizabeth. Beliau seorang jururawat berdedikasi dalam menjalankan tugas, disenangi oleh rakan sekerja dan prihatin terhadap keperluan pesakit.
“Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga di atas pemergian dan semoga keluarga arwah diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangannya. Kami mendoakan semoga segala amal ibadahnya diterima serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Ujar beliau, tindakan murni Allahyarham Sulimah mengikrarkan diri sebagai penderma organ wajar dijadikan inspirasi dan teladan orang ramai.