Tumpuan :
Nasional

OSTEX EAST 2/2024 platform uji kesiagaan Armada Timur

 

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Latihan Operasi Laut Timur OSTEX EAST 2/2024 bermula 11 sehingga 18 November lalu sebagai eksesais tahunan yang menjadi platform utama menguji kecekapan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kesiagaan aset-aset di Armada Timur.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy berkata, siri eksesais kali ini dilaksanakan dengan misi menyediakan armada yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi ancaman maritim.

“Eksesais ini juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran warga dalam aspek navigasi, ilmu kelautan dan peperangan.

“Umpama serampang dua mata, ia turut memperagakan kehadiran aset-aset TLDM di Zon Maritim Malaysia di samping mewujudkan, mengurus serta mengaplikasikan komunikasi taktikal dalam melaksanakan operasi maritim,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Latihan OSTEX EAST 2/2024 dirasmikan 13 November lalu disusuli pelbagai pengisian seiring latihan Fasa Pelabuhan berjaya dilaksanakan termasuk taklimat eksesais, perbincangan operasi di antara pegawai operasi kapal, Subject Matter Expert Exchange oleh TUDM, latihan praktikal di pelabuhan dan taklimat sebelum pelayaran.

“Fasa Laut yang juga menjadi medan latihan sebenar bagi menguji warga berlangsung pada 14 sehingga 17 November di mana lapan buah kapal TLDM terlibat iaitu Kapal Diraja (KD) Kelantan, KD Kedah, KD Selangor, KD Keris, KD Sundang, KD Badik, KD Serang dan KD Todak serta sebuah kapal selam iaitu KD Tun Razak.

“Kapal-kapal ini belayar merentasi perairan Laut China Selatan menuju ke perairan Gugusan Semarang Peninjau (GSP),” katanya.

Beliau berkata, antara siri latihan utama yang dilaksanakan merangkumi siri manuvra taktis, penembakan Naval Gunfire Support (NGFS), penembakan sasaran permukaan statik, Air Defence Exercise (ADEX), Anti Submarine Warfare Exercise (ASWX), Over the Horizon Targetting (OTHT), latihan menggeledah dan mendarat, evolusi ilmu kelautan dan pendaratan helikopter di kapal.

Tambahnya, eksesais OSTEX EAST akan sentiasa dilaksanakan seiring peranan TLDM ketika aman iaitu menyediakan angkatan yang kompeten dan siaga selain turut memupuk semangat warga The Navy People yang sentiasa ikhlas berjuang melindungi kedaulatan dan keselamatan maritim Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini