comscore
Tumpuan :
Nasional

PAAB bantu empat negeri atasi masalah kadar air tidak terhasil

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni bersama Pengarah Urusan IINFRA, Datuk Tengku Hishammuddin Zaizi melaksanakan gimik perasmian Majlis Penyampaian Sijil Rasmi Malaysia Books of Records di Projek Rawatan Air (LRA) Langat 2. – FOTO: NSTP

AMPANG: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mendapati Perlis, Kedah, Kelantan dan Pahang adalah negeri yang dikesan mempunyai air tidak terhasil (NRW) tinggi serta margin rizab air terawat paling rendah.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, ia adalah berdasarkan statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihaknya akan menumpukan perhatian bagi empat negeri berkenaan tahun ini.

“Antara objektif utama PAAB pada 2024 ialah akan berusaha sedaya upaya untuk membantu negeri yang mempunyai NRW tinggi serta margin rizab air terawat paling rendah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Rasmi Malaysia Books of Records (MBOR) hari ini.

Pada majlis itu, Terowong Hulu Langat – Ampang di bawah Pakej 6 (P6A) Projek Rawatan Air (LRA) Langat 2 diiktiraf MBOR sebagai Terowong Air Terawat Dwi Fungsi Terpanjang dan Terowong Air Terawat Selari Berkembar Terpanjang.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar dan Pengarah Urusan i-Infra, Datuk Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Jaseni berkata, PAAB  memberi fokus kepada empat sektor untuk memastikan kejayaan operator air di setiap negeri dengan tumpuan pertama berkaitan kualiti air dan memastikan kualitinya memenuhi standard diperlukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tumpuan kedua pula katanya, untuk memastikan sistem bekalan air terawat mencapai 100 peratus berikutan ketika ini liputan itu di Kelantan hanya kira-kira 70 peratus sahaja.

“Fokus ketiga adalah berkenan NRW kerana kita mendapati 70 peratus berpunca daripada masalah paip kerana di Malaysia terdapat beribu-ribu paip jadi kita bantu negeri untuk tukarkan paip bagi mengurangkan masalah berkenaan.

“Fokus keempat pula adalah membantu meningkatkan kadar margin rizab air terawat seperti dinyatakan SPAN yang pihak operator perlu mempunyai sekurang-kurangnya 15 peratus tambahan kadar margin rizab air terawat untuk memenuhi permintaan waktu puncak ketika waktu kecemasan dan kemarau,” katanya.

Sementara itu, berkenaan LRA Langat 2, beliau berkata, Fasa 1 projek itu membabitkan loji, paip agihan, terowong dan takungan sudah siap sepenuhnya dan sudah diserahkan kepada Air Selangor pada 1 Februari lalu.

Katanya, loji itu mampu membekalkan kapasiti air terawat sebanyak 1,130 juta liter air sehari.

“Ia adalah peningkatan margin rizab air terawat sedia ada di Selangor daripada 12.61 peratus kepada 18.72 peratus iaitu peningkatan sebanyak 6.11 peratus,” katanya.

Beliau berkata, Fasa 2 LRA Langat 2 pula baru diluluskan dan kini di peringkat lantikan perunding reka bentuk dengan jangkaan siap pada 2030.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini