comscore
Tumpuan :
Nasional

Padah buat bising terus kena angkut!

FOTO: Ihsan Pembaca

HULU SELANGOR: Keterujaan 28 pelajar memperdengarkan bunyi bising ekzos masing-masing mengundang padah sebaik mereka ditahan polis berhampiran sebuah bangunan kosong di Jalan Kemboja, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Tindakan pantas oleh polis jam 1.30 petang itu susulan enam aduan dari pihak sekolah dan penduduk setempat berhubung kegiatan tidak sihat yang semakin berleluasa di kawasan terbabit.

Lebih mengejutkan apabila hasil pemeriksaan terhadap semua pelajar mendapati 26 daripadanya adalah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah menengah di Bukit Sentosa, manakala dua lagi bukan calon SPM.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kumpulan remaja terbabit didapati kerap mengambil peluang untuk berbuat demikian sehingga mengganggu ketenteraman awam.

“Mereka akan berkumpul di kawasan bangunan kosong untuk ‘rem’ motosikal masing-masing.

“Oleh itu, polis mengambil tindakan dengan menahan kesemua mereka yang berusia 17 tahun untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, polis turut mengeluarkan enam saman atas kesalahan tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi.

Katanya, kesemua remaja yang ditahan diarah menolak motosikal ke Balai Polis Bukit Sentosa dengan jarak kira-kira 3.5 kilometer.

Terdahulu , tular di laman sosial beberapa video yang dimuat naik pengguna Facebook memaparkan sekumpulan pelajar sekolah menolak motosikal masing-masing selepas ditahan polis kerana membuat bising.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini