comscore
Tumpuan :
Jenayah

Padah perang bunga api di Kelantan, empat lelaki ditahan – Polis

PETALING JAYA: Empat lelaki ditahan dalam kejadian perang bunga api di Lembah Sireh, Kota Bharu pada 10 April lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, semua lelaki ditahan berusia dalam lingkungan 22 hingga 27 tahun di lokasi kejadian.

Pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 3.00 pagi, 10 April lalu berhubung satu kejadian bunyi bising bunga api berhampiran sebuah pasaraya di Lembah Sireh.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat sekumpulan individu sedang bermain bunga api secara berlawanan diantara dua pihak.

“Dalam kejadian itu terdapat sekumpulan individu bermain bunga api secara berlawanan antara dua belah pihak di mana satu pihak berada di kawasan tepi Pasaraya Lotus manakala satu pihak lagi berada di atas Jambatan Sultan Yahya Petra Kota Bharu.

“Dalam kejadian itu, pihak polis telah menahan empat lelaki melayu yang berumur dalam lingkungan 22 tahun hingga 27 tahun untuk tindakan lanjut,” jelasnya dalam kenyataan ringkas kepada Buletin TV3.

Bagaimanapun keempat-empat lelaki terbabit telah dibebaskan setelah diambil keterangan dan diberi amaran keras agar tidak mengulangi perbuatan sama.

“Hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan berhubung kejadian tersebut.

“Bermain bunga api sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang awam adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Sementara itu, individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya lagi.

Orang awam dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan semasa mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan di negara ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini