comscore
Tumpuan :
Nasional

PADU: CUEPACS cadang insentif khas kepada penjawat awam terlibat dalam projek besar kerajaan

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar suatu bentuk insentif khas kepada penjawat awam yang terlibat dalam membangunkan projek-projek besar kerajaan pada masa hadapan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia sebagai satu bentuk pengiktirafan dan galakan kepada penjawat awam untuk berusaha lebih baik dalam membantu negara.

“CUEPACS mencadangkan agar suatu bentuk insentif khas kepada penjawat awam yang terlibat dalam membangunkan projek-projek besar kerajaan pada masa hadapan sebagai satu bentuk pengiktirafan dan galakan untuk mereka berusaha dengan lebih baik.

“Jika sebelum ini kerajaan sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk diberikan kepada perunding antarabangsa, apalah sangat sekiranya insentif khas tersebut diberikan kepada penjawat awam yang berjaya menghasilkan produk lebih mantap untuk perkhidmatan rakyat serta menjimatkan perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya, kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada penjawat awam dalam membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan semalam membuktikan kemampuan dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara.

“CUEPACS mengucapkan setinggi penghargaan kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri kerana memberikan kepercayaan kepada penjawat awam dalam membangunkan sistem PADU yang dilancarkan semalam.

“Usaha yang digembeleng oleh kakitangan daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia jelas membuktikan kemampuan penjawat awam dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara sekiranya diberi peluang serta ruang yang sepenuhnya.

“Walaupun masa yang diberikan oleh kerajaan adalah amat singkat, kekangan tersebut bukanlah menjadi halangan untuk penjawat awam memberikan hasil terbaik setanding dengan perunding antarabangsa,” jelasnya lagi.

Menerusi PADU, ketirisan pemberian bantuan atau subsidi dapat dikurangkan dengan data yang lebih komprehensif dapat digunakan kerajaan.

Dalam pada itu, CUEPACS jelas Adnan, turut menghargai komitmen Perdana Menteri untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam.

Loading...
Terkini