Tumpuan :
Nasional

Pahang, Johor antara 7 negeri dijangka terjejas gelombang banjir kedua mulai esok

KUALA LUMPUR: Pahang dan Johor diramal antara tujuh negeri yang dijangka terjejas teruk melalui gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagaimanapun kesiapsiagaan melalui pengagihan aset dan pegawai sudah mula diatur serta digerakkan ke kawasan berkenaan.

“Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan gelombang kedua mulai esok dan ini akan berjalan hingga 14 Disember ini.

“Kita harap tidak terjadi sebagaimana gelombang pertama, namun mungkin membabitkan Pahang dan Johor dengan lebih berat. Selain itu, hujung bulan ini hingga Mac gelombang banjir di kawasan sana (Sabah dan Sarawak).

“Namun kesiapsiagaan membabitkan aset, anggota, pegawai dan peralatan mula digerakkan,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan sukarelawan skuad misi bantuan banjir, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan tujuh negeri bermula esok sehingga 11 Disember ini.

Terdahulu, METMalaysia memaklumkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku esok di lima negeri termasuk di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak), Kelantan dan Terengganu.

Amaran sama diramal berlaku pada 9 Disember ini membabitkan negeri Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi).

Sebelum ini, Ketua Pengarah METMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata luruan monsun dijangka berlaku bermula esok sehingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan di tujuh negeri.

Katanya, luruan monsun berskala lemah hingga sederhana itu diramalkan turut melanda Sarawak dan Sabah, termasuk negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan semakin kuat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diharap dapat melakukan penyelarasan terhadap usaha dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.

Beliau berkata, sehingga kini lebih 222,000 mangsa banjir di seluruh negara berjaya disantuni dan dibantu dalam mengurangkan beban mereka berdepan bencana alam itu.

Jumlah mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika ini adalah kurang daripada 10,000 orang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini