comscore
Tumpuan :
Nasional

Pahang mohon peruntukan lebih RM700 juta untuk baiki, selenggara jalan

Keadaan jalan mendap di KM73 Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat (FT012) yang memaksa Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang memasang jambatan Bailey. – Foto: NSTP

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang telah memohon peruntukan lebih RM700 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaiki dan menyelenggara jalan pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata pihaknya berharap peruntukan itu diluluskan agar masalah jalan rosak di negeri ini dapat diatasi segera demi kebaikan dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita tiap tahun mohon peruntukan dan kadang-kadang dapat separuh daripada yang dipohon sedangkan jalan yang ada di Pahang banyak melibatkan struktur tak berapa elok.

Bila musim tengkujuh kita lihat lebih banyak masalah jalan ini berlaku… jalan juga perlu diselenggara mengikut masa supaya sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerja-kerja pemasangan jambatan Bailey di KM73 Seksyen 102, FT12 Lebuhraya Kuantan-Segamat di Pekan dekat sini, telah mencapai 80 peratus dan dijangka dapat dibuka kepada lalu lintas dalam masa terdekat bergantung kepada keadaan cuaca.

Mendapan yang berlaku di lokasi dikenali sebagai kawasan burung unta dalam kalangan pengguna, berlaku pada minggu lepas dipercayai akibat pergerakan air bawah tanah susulan limpahan air sungai berhampiran.

Mengulas mengenai mendapan tanah di belakang kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar 2 Paloh Hinai juga di Pekan, beliau berkata laporan akan dikemukakan bagi kaedah pembaikan dan akan menyerahkan anggaran kos kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

Selain itu, Mohammad Fakhruddin memaklumkan projek penggantian pembentung yang runtuh kepada jambatan konkrit di Jalan Perwira Jaya-Selancar Rompin (FT2490) sudah diluluskan oleh pihak Kementerian Ekonomi kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Status semasa projek ini dalam proses semakan brif dan skop sebelum kerja pelantikan Juruukur Tanah dan Penyiasatan Tanah dibuat bagi penyediaan reka bentuk.

Projek yang melibatkan peruntukan RM15.9 juta itu seterusnya dijangka akan ditender pada akhir tahun 2024 dan kerja-kerja pembinaan di tapak bermula pada tahun 2025,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini