BATU GAJAH: Kejadian mendapan tanah yang merosakkan empat rumah di Taman Teja, Tanjung Tualang, di sini, malam tadi dipercayai berpunca daripada kebocoran paip air bawah tanah selain faktor hujan lebat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, V Bavani berkata, kejadian itu terjadi di deretan perumahan yang terletak berhampiran cerun bukit yang sudah berusia lebih 30 tahun.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dilakukan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Lembaga Air Perak (LAP), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dengan bantuan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.
“Taman ini sudah berusia lebih 30 tahun, paip air pun sudah lama, mungkin ada paip yang berkarat dan uzur.
“Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli akan memohon peruntukan kecemasan daripada kerajaan negeri bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan terjejas di sini, hari ini.
Beliau berkata, penghuni dapat dipujuk untuk berpindah sementara kerja-kerja baik pulih dilakukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.