comscore
Tumpuan :
Nasional

Pakar Kesihatan Ramal 2022 Tahun Dijangkiti Semula Dengan Wabak COVID-19 

PETALING JAYA: Pakar kesihatan menyifatkan 2022 sebagai tahun dijangkiti semula dengan wabak COVID-19 berikutan pengesanan varian membimbangkan Omicron BA.4 dan BA.5.

Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Fakulti Perubatan di Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Mohd Hairi berkata, terdapat ramai individu dijangkiti semula kali kedua atau ketiga.

Katanya, jumlah itu akan terus bertambah terutamanya dengan penularan Omicron varian BA.4 dan BA.5 dan berkemungkinan untuk dijangkiti semula dengan salah satu varian Omicron bagi setiap dua hingga tiga minggu boleh berlaku.

“Omicron varian BA.4 dan BA.5 adalah lebih berjangkit daripada varian dan subvarian COVID-19 sebelumnya. Malah ia lebih berupaya mencegah pertahanan imun yang disebabkan oleh vaksin atau oleh jangkitan semula jadi”

Disebabkan itu, walaupun seseorang itu sudah dijangkiti oleh Omicron sebelum ini, mereka masih boleh dijangkiti sekali lagi dengan Omicron varian BA.4 atau BA.5.

“Penularan COVID-19 bukan seperti selesema kerana setiap jangkitan boleh menjejaskan sistem imun seseorang individu. Malah, risiko long COVID juga meningkat dengan setiap jangkitan”

Jangkitan semula memudaratkan sistem imun badan dan meningkatkan risiko kemasukan ke hospital serta kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mengambil ringan jangkitan akibat wabak COVID-19 memandangkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini merebak dengan pantas.

Beliau berkata, kini lebih 110 negara sudah merekodkan peningkatan kes COVID-19 yang didorong oleh dua subvarian berkenaan.

Malaysia kembali mencatatkan kes baharu melebihi 3,000 kes iaitu sebanyak 3,561 kes setakat semalam.

Ia sekali gus menjadikan jumlah angka jangkitan COVID-19 di negara ini meningkat kepada 4,582,302 kes.

Kali terakhir negara ini mencatatkan kes lebih 3,000 ialah pada 13 Mei lalu dengan 3,029 kes dicatatkan.

Loading...
Terkini