comscore
Tumpuan :
Nasional

Pakar sedang memeriksa proses baik pulih sistem ATC perkhidmatan LRT

Penumpang mendapatkan maklumat dari kakitangan yang bertugas untuk menggunakan bas perantara percuma susulan gangguan perkhidmatan LRT

KUALA LUMPUR: Perincian masalah sebenar punca kegagalan yang dihadapi pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang telah mengalami gangguan perkhidmatan sejak semalam akan diketahui selepas pemeriksaan daripada pakar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, memaklumkan pakar teknikal daripada pejabat Thales di Kanada tiba hari ini dan sedang melakukan pemeriksaan di pusat operasi (OCC) Prasarana Malaysia Berhad.

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan ketibaan pakar dari Singapura semalam dan sedang melakukan pemeriksaan.

“Saya akan mendapatkan perincian lanjut berhubung masalah yang berlaku selepas pakar selesai melakukan pemeriksaan mereka.

“Saya akan melawat OCC LRT Laluan Kelana Jaya dan akan memaklumkan perkembangan berhubung perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya di Facebook rasminya sejam lalu.

Rapid KL memaklumkan penggantungan operasi perkhidmatan LRT di 16 stesen bermula Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park mulai semalam hingga 15 November ini berikutan masalah sistem ATC.

Berikutan itu, kira-kira 200,000 pengguna yang terjejas terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain untuk urusan harian menyebabkan aliran lalu lintas kdi ibu kota agak sesak pada waktu puncak.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pihaknya telah mengarahkan Prasarana supaya memastikan perjalanan orang ramai berjalan dengan baik sepanjang tempoh ini.

Katanya lagi, setakat pagi tadi, keadaan terkawal di kebanyakan kawasan tumpuan seperti Masjid Jamek.

“RapidKL dalam kenyataan medianya turut akan mengambil langkah tambahan bagi kemudahan orang ramai.

“Rapid Bus akan menambah 40 buah bas perantara percuma untuk membawa penumpang yang terjejas, menerusi kerjasama dengan Smart Selangor dan Mara Liner untuk menyediakan masing-masing 20 buah bas di bawah kendalian mereka.

“Buat masa ini, pihak Rapid Bus menyediakan sebanyak 83 buah bas bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi. Jumlah bas perantara kepada lebih daripada 120 buah itu adalah bagi menampung penumpang di lima laluan seperti yang disiarkan di media sosial Rapid KL,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengucapkan terima kasih atas kesabaran orang ramai.

“Kami akan melakukan sehabis baik untuk menyelesaikan masalah ini segera dan akan memaklumkan perkembangan berhubung perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Loading...
Terkini