comscore
Tumpuan :
Nasional

Palestin: Masjid seliaan JAKIM anjur solat hajat esok

Kesan serangan terbaharu rejim Yahudi di Rafah, Palestin. – FOTO: Reuters

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiga masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah untuk mengadakan solat hajat esok bagi mendoakan kesejahteraan buat rakyat di Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ia membabitkan Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

“Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diarah untuk melaksanakan perkara sama di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan rakyat Palestin untuk berhadapan dengan kerakusan zionis Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam dan mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan zionis Israel yang terus melancarkan serangan udara kepada penduduk Palestin khususnya di Rafah.

Kesan serangan terbaharu rejim Yahudi di Rafah, Palestin. – FOTO: Reuters

Tindakan Zionis Israel itu tegasnya, adalah biadab serta tidak bertanggungjawab.

“Adalah menyedihkan serangan udara tersebut telah mengorbankan orang awam serta mendatangkan kecederaan termasuk kepada kanak-kanak selain memusnahkan kediaman dan premis awam. Lebih-lebih lagi ketika umat Islam semakin menghampiri gerbang bulan Ramadan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Israel memberi ancaman bahawa tenteranya akan menyerang bandar Rafah pada bulan Ramadan sekiranya tebusan yang ditahan oleh pejuang Hamas tidak dibebaskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata tindakan zionis Israel mengancam untuk terus melancarkan serangan di bumi Gaza ketika menjelang Ramadan juga perlu ditentang oleh dunia menerusi tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.

“Marilah bersama-sama kita terus bersatu hati berdoa agar Allah SWT memberikan kesejahteraan buat rakyat di Palestin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini