comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pameran Kerjaya MOHE-BMCC tingkat peluang kerjaya graduan tempatan


Dari kiri: Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios , Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Jennifer Lopez, Ketua Eksekutif British Malaysian Chamber of Commerce, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Professor Dr Zamri Radzri, Timbalan Naib Chancellor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya Khairil Azwan Abu Mansor, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Tinggi.

KUALA LUMPUR: Pameran Kerjaya anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan British Malaysia Chamber Of Commerce MOHE-BMCC berlangsung dengan jayanya di World Trade Centre WTC, Kuala Lumpur hari ini.

Program ini mencerminkan komitmen bersama dalam pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan pentingnya kerjasama antara institusi pendidikan dan sektor swasta dalam menyediakan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Program ini juga menjadi jambatan penghubung antara bakat tempatan dan peluang pekerjaan, sejajar dengan usaha KPT untuk memastikan graduan bersedia menghadapi cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan.

Pameran kerjaya yang julung-julung kali diadakan ini berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menyaksikan penyertaan lebih daripada 25 syarikat terkemuka Britain di Malaysia yang menawarkan lebih 300 peluang pekerjaan kepada graduan, termasuk skim latihan siswazah.

Program ini menawarkan pelbagai manfaat kepada peserta, antaranya peluang pekerjaan di peringkat antarabangsa, sesi interaksi dengan majikan terkemuka, peluang meningkatkan kemahiran kerjaya, dan memperluas rangkaian profesional.

Menurut beliau, KPT menekankan kebolehpasaran graduan melalui Dasar Pendidikan Malaysia 2030 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, dengan lebih 75 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Kerjasama dengan BMCC akan memberi akses kepada platform antarabangsa dan pendedahan kepada amalan terbaik global, sekali gus memperkukuh hubungan pendidikan dan perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Tom Shepherd; Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Datin Noorazah Omar; dan Ketua Pegawai Eksekutif BMCC, Jennifer Lopez.

Program ini diharap membuka lebih banyak peluang kerjaya dan menjadi contoh kejayaan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini