comscore
Tumpuan :
Nasional

Pameran sejarah seni silat cekak ‘masuk’ Muzium Negeri Kedah

ALOR SETAR: Buat julung kalinya, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) mengadakan pameran sejarah berkaitan silat di Muzium Negeri Kedah, di sini.

Seperti pepatah sireh pulang ke gagang, seni mempertahankan diri itu ‘dibawa’ kembali ke tempat asal-usulnya untuk dipamerkan selama 5 tahun, bermula hari ini.

Pameran yang ditempatkan di tingkat 3, Galeri Silat Cekak Diraja itu berkonsepkan internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut Presiden PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah pameran itu membabitkan pelbagai jenis senjata dan pingat kurniaan selain ratusan jurnal berkaitan pendidikan silat.

Namun yang istimewanya adalah Kitab Berzanji, Marhaban dan Qasidah Burdah edisi istimewa PSSCM.

“Pameran itu berkonsepkan teknologi moden seperti menggunakan hologram dan ‘lightboard’”.

“Bagaimanapun kita akan melakukan naik taraf dari masa ke semasa sepanjang tempoh lima tahun pameran itu diadakan,” kata Maideen kepada Buletin TV3.

Ujarnya, pameran itu secara tidak langsung memberikan pelbagai inovasi dan memperkasakan industri pelancongan negeri Kedah bersempena Tahun Melawat Kedah 2025.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin yang diadakan serentak dengan Majlis Serah Tapak antara PSSCM selaku pempamer dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.

Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata pameran itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung ke muzium terbabit bersempena cuti sekolah nanti.

“Kalau kita lihat, PSSCM mempunyai ahli lebih 100,000 orang, kehadiran mereka dijangka memeriahkan lagi pameran sejarah ini. Selain itu, mereka dapat melihat pameran-pameran lain antaranya sejarah dan budaya negeri Kedah,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini