Tumpuan :
Nasional

Pampasan Kampung Sungai Baru dilaksanakan dua kaedah – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR: Pemberian pampasan kepada pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru dilaksanakan mengikut dua kaedah berdasarkan keputusan golongan itu sama ada bersetuju atau tidak dengan pembangunan dilaksanakan di kawasan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pampasan untuk pemilik yang bersetuju dengan usaha sama pembangunan adalah lebih tinggi.

“Ini kerana nilai itu didasarkan pada nilai masa depan (future value) hartanah di Kampung Sungai Baru.

“Sebaliknya, pampasan untuk pemilik yang menolak pengambilan tanah ditentukan berdasarkan nilai pasaran semasa mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan penilaian daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Ini dilakukan bagi memastikan nilai pampasan mencerminkan nilai hartanah semasa dan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh hak pemilik tanah dan proses pengosongan, Dr Zaliha berkata, pihak pemaju sudah memulakan prosiding undang-undang untuk mendapatkan perintah milikan kosong bagi unit yang masih dihuni.

“Sehingga kini, 22 unit masih diduduki daripada 328 unit keseluruhan.

“Selepas pampasan dibayar dan notis dikeluarkan, pemilik tidak lagi mempunyai hak ke atas hartanah itu dan penamatan Skim Strata bagi blok flat juga sudah diperoleh melalui perintah mahkamah.

“Pemilik yang terbabit dalam usaha sama dengan pemaju akan menerima rumah ganti yang akan dibina di Kampung Sungai Baru manakala pemilik yang tanahnya diambil alih, mereka perlu membeli hartanah jika ingin kembali menetap di kawasan itu,” katanya.

Mengenai kelestarian dan projek Felda, Zaliha berkata, seramai 6,668 peserta terbabit dalam projek diusahakan secara individu di bawah Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi peneroka Felda.

“Bagi projek yang diusahakan secara koperasi sebanyak 127 projek membabitkan seramai 45,000 peserta.

“Felda sudah melaksanakan pelbagai projek PPP antaranya tanaman cili fertigasi, melon dan nanas MD2, ternakan ayam pedaging, kambing, lembu pedaging, ikan tilapia serta udang kertas dan perusahaan sarang burung walit.

Loading...
Terkini