Tumpuan :
Nasional

Pandan Mewah, Kuala Selangor dan Sungai Buloh – lokasi lambakan warga asing

Hussein (tengah) menyaksikan serah terima tugas bekas Ahmad Ridhwan (kiri) kepada Mohd Sufian pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat. – FOTO: NSTP

KUALA LANGAT: Polis Kontinjen Selangor mengenal pasti tiga lokasi dipercayai menjadi kawasan lambakan warga asing di negeri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selain Pandan Mewah di Ampang yang dilaporkan baru-baru ini, Kuala Selangor dan Sungai Buloh juga menjadi lokasi tumpuan pihaknya.

“Polis Selangor bersama Jabatan Imigresen dalam proses untuk melakukan beberapa operasi bukan sahaja di kawasan itu (Pandan Mewah) tetapi di beberapa kawasan lain yang ada lambakan warga asing yang kita sangsi keberadaan mereka.

“Jadi akan ada beberapa operasi lagi termasuk di kawasan yang disebutkan, kawasan lain adalah Sungai Buloh, Kuala Selangor.

“Ini dalam pemantauan dan risikan sebelum kita buat pemeriksaan ataupun operasi bersepadu bersama dengan Jabatan Imigresen,” katanya ketika diminta mengulas mengenai lambakan warga asing di Pandan Mewah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini.

Di Majlis itu, Hussein menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat kepada Deputi Superintendan, Mohd Sufian Amin sebagai pemangku jawatan itu menggantikan Asisten Komisioner Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh yang kini sebagai Penolong Pengarah D7 (Bahagian Gangsterism) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Media sebelum ini melaporkan penduduk flat Pandan Mewah meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila isu lambakan warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen sah selain pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Menurut laporan media, penempatan itu merangkumi 12 blok flat selain terdapat beberapa premis perniagaan termasuk kedai makan, runcit dan cuci kenderaan.

Kawasan terbabit turut dilengkapi dengan padang permainan, namun tinjauan mendapati lokasi itu ibarat dikuasai ‘orang luar’ terutama seawal jam 5 petang.

Ada yang berniaga pakaian, makanan dan peralatan dapur seperti pinggan, periuk dan mangkuk malah ada antara warga asing berkenaan tidak memiliki dokumen sah, mereka seperti bebas bergerak selain bekerja di premis kedai dan menjual barangan di kaki lima.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini