
TUMPAT: Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, lelaki disyaki penyeludup lari meninggalkan rakannya dalam kereta yang sedang diisi petrol untuk aktiviti penyelewengan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu, di sini malam kelmarin itu, turut dirampas 26 tong plastik yang mengandungi 650 liter petrol dimuatkan dalam kereta jenis Proton Saga Aeroback.
Beliau berkata, serbuan dilakukan pada jam 9.50 malam apabila mendapati seorang lelaki sedang mengisi minyak dan sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa KPDN, lelaki itu bertindak melarikan diri selepas berlaku sedikit pergelutan.
“Kita dapat menahan seorang lagi dalam kenderaan berkenaan bersama 26 tong plastik yang mengandungi petrol yang dimuatkan di dalam but serta tempat duduk penumpang belakang.
“Kita juga merampas sebuah pam penyedut minyak serta hos paip lutsinar serta beberapa dokumen berkaitan transaksi pembelian petrol bersubsidi pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azman berkata, hasil risikan yang dibuat sebelum ini mendapati kenderaan itu dipercayai terbabit dalam aktiviti pembelian petrol dalam jumlah besar di beberapa stesen minyak sekitar bandar Tumpat, Pasir Pekan dan Kota Bharu.
Menurutnya lagi, soal siasat terhadap lelaki berusia 27 tahun yang ditahan itu mengakui semua petrol itu adalah untuk diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok di Pengkalan Kubor.
“Lelaki yang mengaku sebagai kelindan juga menyangka pihak berkuasa tidak menjalankan rondaan kerana cuti perayaan.
“Stesen minyak terbabit turut diambil tindakan kerana disyaki bersubahat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.